Friday 25 March 2011

Ikan Hiasan


Ikan Hiasan
Ikan Arowana
Ikan Emas
Ikan Cupang
Ikan Louhan
Ikan Koi
Ikan Tetra


Langkah-langkah Untuk Menyediakan Akuarium Ikan Hiasan
1. Bersihkan Dahulu Bekas/Akuarium Ikan Hiasan
Anda perlulah membersihkan akuarium yang baru dibeli dengan air untuk memastikan habuk atau kotoran yang melekat di dalam akuarium tidak menjadi racun kepada ikan hiasan anda nanti. Paling elok bersihkan dengan air mengalir seperti menggunakan hos paip. Setelah siap dibersihkan, letakkan akuarium di tempat yang anda inginkan.
2. Pasangkan Penapis Air
Selepas itu anda pasangkan penapis air termasuklah mesinnya sekali mengikut jenis yang anda pilih. Pastikan anda meletakkan kotak penapis air (berspan) di tempat yang sesuai. Jika tidak air akan meleleh keluar daripada akuarium.
3. Masukkan Batu Hiasan (jika perlu)
Masukkan batu hiasan jika perlu untuk tempat ikan bermain atau berteduh. Batu hiasan ini kadang-kadang membuatkan ikan berasa seolah-olah ia berada di dalam sungai atau habitat semulajadi.
4. Masukkan Hiasan Dalam Lain (jika perlu)
Anda boleh masukkan hiasan dalaman lain seperti kincir air, rumah tiruan, tumbuhan hiasan  dan sebagainya jika perlu. Pastikan hiasan dalam lain ini tidak menyebabkan akuarium ikan hiasan menjadi serabut/penuh dengan hiasan hinggakan ikan tidak kelihatan. Tujuan utama anda ialah memelihara ikan hiasan dan bukannya menghias akuarium.
5. Masukkan Aksesori Yang Diperlukan
Aksesori yang dimaksudkan di sini ialah seperti penapis udara, penyukat suhu (termometer), penyukat ph air dan lampu. Anda hanya perlu pasangkan aksesori ini jika ikan hiasan anda perlukannya dan akan mati jika aksesori ini tidak disediakan. Pastikan anda bertanya kepada penjual ikan hiasan akan keperluan ikan yang ingin anda pelihara.
6. Masukkan Air Secukupnya
Selepas itu anda masukkan air secukupnya. Maksud secukupnya di sini ialah jarak antara paras air dengan bahagian atas akuarium (bahagian kaca) ialah lebih kurang 3-4 inci. Jika terlalu penuh ia akan melimpah jika ikan melompat untuk berebut makanan (jika lebih daripada seekor ikan). Jika terlalu cetek atau air terlalu kurang suhu air kadang-kadang menjadi  panas jika suhu di luar terlalu panas.
7. Masukkan Ceccair Anti Klorin dan Garam Mengikut Sukatan Yang Sesuai
Pastikan anda masukkan cecair anti klorin dan garam yang cukup mengikut sukatan yang telah ditentukan berdasarkan saiz akuarium anda. Anti klorin yang dijual di pasaran mempunyai sukatan yang berbeza berdasarkan saiz akuarium. Pastikan anda membaca label pada botol anti klorin sebelum memasukkannya ke dalam akuarium. Garam pula hanya perlu dimasukkan sedikit untuk membunuh bakteria yang boleh membahayakan ikan. Garam juga boleh dibeli di kedai ikan hiasan.
8. Hidupkan Pam Air
Setelah semuanya siap, pasangkan suis pam air ke soket yang berdekatan. Hidupkan pam air dan biarkan antara 1 – 2 jam. JANGAN masukkan ikan lagi. Selepas itu barulah anda masukkan ikan seekor demi seekor.
Selamat memelihara ikan hiasan pilihan anda.

Pengurusan Ikan Hiasan
Memelihara ikan hiasan bukan hanya memerlukan kita menjaga makanan dan kesihatan ikan tetapi juga perlu mengurus akuarium ikan itu sendiri. Ini adalah kerana pengurusan akuarium yang baik akan menjadikan ia cantik, menarik dan selamat (tidak beracun) dan sesuai untuk ikan hidup dengan selesa.
Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian  dalam mengurus bekas/akuarium. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Sistem Pengudaraan Akuarium
Untuk  memastikan peredaran udara yang baik, pam udara diperlukan untuk menambah kandungan oksigen dalam air. Oksigen yang mencukupi adalah amat perlu terutama kepada ikan-ikan jenis yang kurang tahan seperti ikan emas, arowana (kelisa), guppy dan lain-lain. Manakala untuk ikan-ikan yang tahan seperti ikan kalui, puyu dan tilapia, mereka tidak memerlukan sangat pengudaraan yang baik jadi memadai jika anda hanya memasang penapis air yang boleh berfungsi sebagai pam udara.
2. Sistem Penapis Air
Contoh Penapis Air (Top/Atas)
Terdapat banyak sistem penapis air yang digunakan. Biasanya pemelihara ikan hiasan  yang baru akan menggunakan penapis jenis atas tangki kerana ianya lebih murah dan mudah di dapati di kedai ikan hiasan.  Sistem penapis yang lebih baik dan berkesan ialah jenis “under gravel filter” kerana air lambat menjadi kotor. Walau bagaimanapun ia agak mahal sedikit. Penapis yang paling baik ialah jenis sistem biologi kerana ianya bukan sahaja dapat menapis kekotoran tetapi dapat menapis hidupan seni yang boleh membawa penyakit kepada ikan.
3. Perawatan Air
Air yang digunakan terutama air dari air paip di negara kita perlu dirawat terlebih dahulu sebelum dapat di gunakan untuk ternakan ikan hiasan. Rawatan yang selalu di amalkan ialah merawat dengan anti klorin dan memasukkan sedikit garam  (NaCl) bagi membunuh bakteria. Garam dan cecair anti klorin ini boleh dibeli di kedai hiasan. Garam biasa juga boleh digunakan.
4. Aksesori Akuarium
Kebiasaannya pemelihara iakan akan menambah hiasan dengan lampu, binaan yang berbentuk kapal, kincir angin dan lain-lain lagi. Apabila kita memilih aksesori yang penting pastikan aksesori tersebut tidak bertoksik kerana ianya
boleh merbahaya kepada ikan hiasan. Selain itu pastikan juga agar aksesori tadi boleh menjadikan akuarium anda nampak menarik dan bukannya berserabut atau berselerak.
5. Meletakkan Batu-batan Di Dasar Akuarium
Pemilihan batu juga perlu diambil kira  kerana pada masa kini terdapat banyak batu yang di jual di pasaran yang di warnakan supaya nampak lebih cantik. Pastikan warna atau cat batu tersebut tidak luntur dan membahayakan ikan anda. Jika boleh cari sahaja batu-batu dari sungai kerana ia dah tentu sekali tidak bertoksik dan percuma.
6. Hiasan Lain Dalam Akuarium
Contoh Hiasan Dalam Akuarium
Reka bentuk hiasan dalam akuarium bergantung kepada minat dan cita rasa seseorang. Walau apapun pastikan reka bentuk hiasan yang hendak disediakan  memberi ruang yang cukup untuk ikan berenang dan tidak menjadi satu gangguan kepadanya.


Faktor Penyebab Penyakit Ikan Hiasan :

Biasanya ikan hiasan yang dipelihara di dalam akuarium mudah dijangkiti oleh penyakit sekiranya kurang pemantauan pemilik ikan ke atas ikan hiasan. Antara faktor biasa dan sering menyebabkan ikan dijangkiti penyakit ialah:

Ikan yang sihat
Contoh Ikan Yang Sihat
1. Suhu Air Dalam Akuarium
Suhu air yang di dalam akuarium yang terlalu sejuk membolehkan parasit ikan hidup dan membiak  di dalam akuarium. Parasit ini akan melekat pada sisik (badan) ikan hiasan dan menyebabkan ikan hiasan sakit.
2. Air Di Dalam Akuarium Yang Kotor
Contoh akuarium yang kotor

Air akuarium yang tidak diganti atau dirawat akan menjadikannya kotor akibat daripada najis dan lebihan makanan ikan. Air yang kotor boleh menjadi racun kepada ikan hiasan. Selain itu air yang kotor dan berkeladak juga akan mengurangkan kadar oksigen di dalam akuarium sekaligus akan menyebabkan ikan lemas atau mati.
3. Luka atau Kecederaan Ikan Yang Tidak Dirawat
Contoh ikan yang luka

Ikan yang luka atau mengalami kecedaraan akibat proses pemindahan dari akuarium lain juga boleh mengundang penyakit kepada ikan hiasan. Sebaik-baiknya ketika memindahkan ikan terutama ikan yang agak agresif atau besar pemiliknya perlu memasukkan cecair pelali yang boleh didapati di kedai ikan hiasan. Anda juga perlu mendapatkan cara untuk menggunakan ubat pelali ini daripada pemilik kedai ikan hiasan untuk mengelakkan kesilapan yang boleh membunuh ikan hiasan anda.

Video Pemeliharaan Ikan Koi



 Video Ikan Cupang


1 comment: